Monday, August 23, 2010

MINGGU 6 REFLEKSI JURNAL

Assalamualaikum w.t.b dan salam sejahtera kepada semua. Hari ini saya akan menceritakan dua lagi alat tradisional yang baru sahaja saya pelajari dalam kursus muzik tradisional pada minggu lepas. Saya akan menerangkan serba sedikit tentang makyung dan kompang.

MAKYUNG


Pengenalan

Makyung merupakan satu tarian Melayu yang begitu unik dan halus sifatnya. Ia merupakan satu kombinasi dari unsur-unsur tarian, muzik, drama dan komedi yang dipentaskan secara teater keliling. Pelakonnya terdiri daripada gadis-gadis muda dan jelita yang mengambil semua peranan lelaki dan perempuan kecuali watak-watak komedi atau 'peran'. Lahirnya keadaan begini kerana makyung merupakan hiburan bagi permaisuri-permaisuri dan puteriputeri raja.

Oleh kerana bimbang sekiranya mereka ini jatuh hati kepada pelakon-pelakon makyung semasa raja atau pembesar-pembesar meninggalkan istana untuk menjaga keselamatan negeri dan Iain-Iain tugas di luar istana maka pelakonnya terdiri daripada perempuan belaka. Makyung lahir di istana Melayu Patani kira-kira 400 tahun yang lampau dan kemudian tersebar ke negeri di Timur Semenanjung, terutamanya Kelantan.

Kita tidak dapat mempastikan dari mana asal perkataan makyung atau erti sebenarnya perkataan itu. Besar kemungkinan ia berasal dari satu upacara pemujaan roh-roh; dan mak Inang atau roh ibu yang juga roh padi. Dalam persembahan makyung dia mungkin berlagak seperti perantaraan mewakili raja dan rakyatnya bagi tujuan meminta sesuatu. Pada permulaan persembahan makyung, seorang bomoh bertindak sebagai Syaman atau orang perantaraan akan hadir.

Kumpulan Muzik Makyung yang lengkap mengandungi alat-alat

1. Tawak atau Gong

Tawak ibu, yang lebih besar daripada tawak anak, diperbuat daripada tembaga. Bunyian tawak ibu lebih rendah daripada bunyian tawak anak. Kedua-duanya digantung dan dipisahkan oleh dua batang kayu yang dinamakan mengembang. Pemukulnya diperbuat daripada kayu yang hujungnya dibalut dengan kain atau kepingan getah.

2. Gendang Ibu dan Gendang Anak

Kedua-duanya berbeza dari segi saiz dan bunyi. Muka besar ditutup dengan belulang lembu manakala muka kecil ditutup dengan kulit kambing.

3. Canang

Canang anak dan ibu diperbuat daripada tembaga. Perbezaan antara dua canang ini akan hanya dapat dikesan melalui bunyi yang dihasilkan oleh alat muzik tersebut.

4. Kesi

Kesi mempunyai dua bahagian, piring dan kicah (empat piring dan dua kicah) yang diperbuat daripada besi.

5. Serunai

Serunai mempunyai empat bahagian, iaitu pipit, mali, batang dan copong. Tiap-tiap bahagian ini boleh dipisahkan.

6. Rebab

Rebab mempunyai tiga bahagian iaitu pucuk rebung, batang dan muka. Tempurung muka diperbuat daripada kayu nangka atau sena dan ditutup dengan kulit perut lembu.

Pergerakan asas bagi tarian makyung

Satu unsur penting dalam makyung selain daripada muzik dan dialog ialah tarian yang digunakan dalam keseluruhan persembahan. Tarian makyung juga sama seperti tarian melayu yang lain iaitu menegaskan kepada pergerakan tangan. Posisi tangan ini apabila dicantumkan dengan pergerakan badan, kepala dan kaki membentuk tarian makyung seperti
berikut:

1. Duduk atas tumit, tangan sembah guru

2. Tangan susun sirih

3. Tangan gajah lambung belalai

4. Tangan burung terbang

5. Tangan ular sawa mengorak lingkaran

6. Tangan seludang menolak mayang

7. Tangan sulur memain angi

8. Tangan liuk kiri longlai ke kanan

9. Berdiri tapak tiga mengadap timur jaga

10. Tangan sirih layer

11. Kirat penghabisan

12. Langkah turun dari kayangan

13. Langkah naik ke kayangan

14. Pak Yung berjalan

KOMPANG



Pengenalan

Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat Melayu. Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang. Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing.

Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu bertujuan menengangkan permukaan kompang, bertujuan menguatkan bunyi kompang. Kini, gelung plastik turut digunakan.

Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim, atau melalui Jawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab.

Kompang biasanya berukuran enam belas inci ukur lilit dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.

Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang dengan bahagian jari-jari atau tapak tangan mengikut rentak. Kompang biasanya dimainkan semasa perarakan, kenduri dan upacara-upacara tradisi lain.

Bunyi yang berlainan dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi 'bum' di perolehi dengan tepukan di sisi kompang dan tapak tangan dikuncup/rapat. Bunyi 'cak' di perolehi dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.

Paluan kompang terbahagi kepada 2 bahagian iaitu paluan tradisi dan paluan moden ataupun kreatif. Paluan tradisi adalah paluan di mana memukul kompang sambil menyayi ataupun bersyair dalam versi Arab ataupun bahsa Melayu klasik. Manakala paluan moden pula di mana paluan tersebut diselitkan dengan gerakan ataupun tarian. Di Sabah, pertandingan kompang sering diadakan untuk memartabatkan kembali kesenian Melayu yang telah hampir pupus ini.

Fungsi

Persembahan kompang ini mempunyai pelbagai fungsi dan peranan. Pada asasnya, ia bertujuan untuk memeriahkan sesuatu upacara. Sungguhpun demikian, fungsi permainan ini turut mengalami perkembangan mengikut masa. Antara fungsi permainan kompang ialah;

1. Mengiringi aktiviti vokal seperti nyanyian solo atau kumpulan secara ensemble (nasyid, marhaban)

2. Mengarak pengantin, kanak-kanak berkhatan, berkhatam Quran, dan upacara rasmi yang melibatkan pembesar

3. Menjadi elemen permainan ensembel lain seperti orkestra, lagu etnik kreatif, cak lempong, cak lempong pacik dan gamelan.

4. Untuk merangsang semangat pasukan yang bertanding, contohnya pasukan bola sepak bagi memeriahkan acara sukan serta membuat gimik sorakan.

5. Pertandingan – paluan kompang dan kompang formasi

6. Permainan kompang biasanya dapat dilihat dan dimainkan oleh persatuan atau kumpulan dalam sesebuah kampung, sekolah-sekolah, pusat pengajian tinggi, yayasan kesenian negeri, serta institusi-institusi kerajaan bagi mengekalkan keaslian permainan muzik tradisional Melayu. Persembahan kompang diketuai oleh seorang pemimpin. Tugas pemimpin ialah untuk memulakan dan menamatkan sesuatu permainan dengan arahan atau lakuan tertentu.

Secara kesimpulannya, saya sangat berminat dengan subjek ini. Walaupun pada mulanya saya beranggapan bahawa subjek ini rumit tetapi setelah mengetahui cara pembelajarannya, rasa ingin tahu dalam diri saya sentiasa menanti-nanti apakah alat muzik tradisional lain yang akan saya pelajari.

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kump. A

Blog Pelajar Kump. B

Blog Pelajar Kump. C

SMP2252 Syahrieetins Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template